SEJARAH SEKOLAH


Sekolah Kebangsaan Chembong adalah di antara sekolah yang terawal telah dibuka di dalam daerah Rembau . Catatan rekod menunjukkan bahawa ia telah dibuka pada tahun 1903. Ini bermakna pada tahun genaplah usianya 105 tahun. Sekolah ini terletak bersebelahan Kampung Berkat dan beberapa kampung lain seperti Kampung Ampang Batu , Kampung Batu 17 dan Kampung Datuk Hijau. Kedudukannya kira-kira 1 kilometer dari jalan besar Seremban – Tampin dan kira-kira 25 kilometer dari bandar Seremban.


Mengikut sejarah awal, sekolah ini terbahagi kepada dua iaitu Sekolah Melayu dan Sekolah Inggeris. Bangunan utama dua tingkat pada masa dahulu menempatkan murid Melayu dan aliran Inggeris. Namun selepas negara mencapai kemerdekaan, Sekolah Melayu dan Sekolah Inggeris telah disatukan menjadi Sekolah Kebangsaan. Sementara itu, bangunan utama iaitu bangunan lama yang dibuat daripada kayu masih wujud hingga sekarang. Walaubagaimana pun, bangunan ini telah mengalami proses pengubahsuaian.


Sekolah Kebangsaan Chembong terbahagi kepada dua blok utama yang terpisah disebabkan oleh tanah persendirian. Blok utama terdiri daripada pejabat, kantin, perpustakaan, makmal sains dan bilik darjah. Manakala blok kedua mengandungi bilik guru, tandas dan prasekolah. Luas keseluruhan sekolah ini ialah kira-kira 5.5 ekar.


Pada peringkat awal penubuhan sekolah ini, ia menghadapi masalah kekurangan murid. Ini mungkin kerana kedudukannya yang agak jauh dari jalan utama. Tambahan pula ia terpaksa bersaing dengan Sekolah Kebangsaan Undang Rembau yang lebih terkenal pada masa itu. Namun begitu , keadaan mula berubah sekitar tahun 1980an apabila pertambahan murid mula berlaku. Pada tahun 1990an, pertambahan murid meningkat secara ketara dan kini jumlah murid telah mencecah sehingga 496 orang. Sekolah ini mempunyai potensi yang besar untuk maju dalam bidang kurikulum dan kokurikulum kerana latar belakang yang kuat dan sumber yang berpotensi. Kini pihak sekolah telah mendapat dua blok bangunan baru tiga tingkat yang telah siap digunakan sepenuhnya mulai awal Januari 2003.



No comments: