KONGSI PENGALAMAN

KUALA LUMPUR: Malaysia sentiasa percaya berhubung perkongsian pengalaman dan pengetahuan melalui kerjasama dengan rantau lain dan negara yang lebih jauh lagi bagi mencapai matlamat dan sasaran pendidikan untuk semua (EFA), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, perkongsian boleh dibuat dalam bentuk pertukaran tenaga pakar melalui penempatan kumpulan petugas, hubungan institusi dan lain-lain.

"Saya yakin ramai daripada kita akan menjadi saksi kepada kenyataan bahawa kekurangan sumber menjadi halangan utama bagi mencapai EFA. Ini kami percaya akan menjadi satu cabaran," katanya dalam ucapan aluan pada majlis pembukaan persidangan Menteri-menteri Pendidikan Komanwel ke-17 (17 CCEM) di sini, hari ini.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, semua pemegang kepentingan pada peringkat global dan juga kerajaan, masyarakat umum dan penyumbang dana pada peringkat negara perlu mengambil tindakan bagi memastikan matlamat itu kekal pada landasannya.


"Kami percaya bahawa semua anak-anak kita mempunyai hak yang sama bukan saja untuk mendapat pendidikan tetapi pendidikan yang berkualiti," katanya.

Beliau berkata, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kerajaan sudah memperuntukkan lebih daripada RM25.8 bilion bagi sektor pendidikan yang mewakili 16.7 peratus daripada jumlah perbelanjaan kerajaan.

"Kadar celik huruf kami adalah lebih daripada 93 peratus yang menunjukkan komitmen Malaysia bagi menyediakan pendidikan yang berkualiti," katanya.

Muhyiddin berkata, persidangan ini yang akan diadakan mulai 15 hingga 19 Jun menyediakan platform yang hebat bagi membentuk kerjasama dan perkongsian yang akan menggerakkan sumber dan menyelaraskan strategi bagi mengurangkan kesan daripada krisis ekonomi global terhadap sistem pendidikan di kalangan negara anggota.

"Malaysia sudah menjalin perkongsian dengan Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEO), Asean dan rakan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi menjadikan EFA sebagai satu kenyataan," katanya.

Pada sidang media kemudian, Muhyiddin berkata keputusan mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan diumumkan tidak lama lagi.

"Saya akan memberi taklimat kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dalam beberapa hari lagi," katanya. - Bernama

No comments: