PEPERIKSAAN PRA UPSR

Bermula 28 - 30 Julai semua murid UPSR 2009 akan menduduki Peperiksaan PRA UPSR. Peperiksaan ini sangat penting buat semua calon ini kerana peperiksaan ini merupakan penanda aras kepada peperiksaan yang sebenar nanti. Diharapkan semua calon bersedia dan menjawab dengan tekun dan bersemangat. Jangan persiakan masa yang ada ini. PRA UPSR jangan dibuat sambil lewa kerana keputusan yang diterima nanti akan menentukan tempat untuk kemasukan SBP. Semua warga SKC mendoakan kejayaan anda semua. Good Luck..

DOA DAN SEMBAHYANG SUNAT UNTUK MENGHADAPI PEPERIKSAAN

    • Sembahyang hajat
    • Doa keluar rumah
    • Doa naik kenderaan
    • Doa apabila menemui sesuatu yang sukar
    • Doa apabila hati menghadapi kesedihan
    • Doa apabila terkena kesedihan hati
    • Doa aneka macam kesusahan
HARI PEPERIKSAAN
  1. Ulang pelajaran
  2. Tidur awal
  3. Doa sebelum tidur
  4. Sembahyang fardu/sunat selepas bangun
  5. Sampai awal di pusat peperiksaan.

KE ARAH MEMBUDAYAKAN 5S


Satu perubahan akan berlaku di SKC sedikit masa lagi. Sekarang SKC tengah menumpukan kepada pembudayaan 5S dalam persekitaran pengajaran dan pembelajaran di SKC.

Sebelum itu mari kita mengetahui serba sedikit mengenai 5S. 5S ini merupakan salah satu daripada konsep yang diamalkan di Jepun. Ia bertujuan untuk penambahan kualiti serta meningkatkan MOTIVASI kerja.

5S bermaksud Seiri (Sisih), Seiton (Susun), Seiketsu (Sapu), Seiso (Seragam) dan Shitsuke (Sentiasa Amal). Ini bermakna agar kita selesa dan produktif dalam sesuatu ruang yang kita duduki itu, kita perlu amal 5S.

Mula-mula, Seiri (Sisih) segala macam benda yang tidak perlu ada di dalam sesuatu ruang itu. Ianya dituruti dengan Seiton (Susun) apa juga perkara yang masih ada dalam ruang tersebut. Selepas itu sahaja kita Seiketsu (Sapu) ruang tersebut agar bersih. Untuk memastikan agar ruang tersebut mudah untuk dipelihara suasananya, lakukan Seiso (Seragam) seperti membuat penandaan (label) dan proses yang perlu diikuti dalam menggunakan ruang tersebut. Akhir sekali pastikan Shitsuke (Sentiasa Amal) amalan-amalan yang baik terutamanya 3S yang pertama bagi memastikan ruang tersebut sentiasa selesa dan produktif. Mudahkan? Tapi bak kata mat salleh, ’Knowing and Doing are poles apart’.

Antara faedah 5S ini ialah menyerikan suasana sesuatu tempat, mewujudkan semangat KERJASAMA, membudayakan cintakan persekitaran sekolah, dan memupuk keharmonian. Jika ia dapat di amalkan sudah pasti produktiviti dapat ditingkatkan. Yang penting keprihatinan dari semua pihak dan bersama-sama untuk membudayakan 5S ini. Bak kata Wonderpets apa yang penting ? KERJASAMA

Laluan 'terowong' akan ke arah 5S


Papan kenyatan sekolah yang telah dikemaskini

SATU MALAYSIA





TEKNOLOGI SATELIT MALAYSIA


SEMENJAK satelit pertama dilancarkan pada 13 Januari 1996, Malaysia sudah mempunyai lima satelit dengan empat daripadanya milik syarikat Measat Satellite System Sdn. Bhd. (Measat), yang direka bentuk untuk tujuan komunikasi.

Sementara satu lagi ialah Tiungsat milik Astronautics Technology Sdn. Bhd.(ATSB) yang dilancarkan pada 26 September 2000 yang mempunyai misi untuk mencerap bumi.

Kejayaan Malaysia dalam tempoh pendek itu ternyata pencapaian yang cukup hebat dan mengkagumkan ramai hingga telah meletakkan nama negara sebagai peneraju utama di rantau ini.


Lantas dengan siri kejayaan ini, ia telah menjadikan Malaysia antara tiga negara yang terkehadapan di Asia Pasifik dalam industri satelit komunikasi.

Sumbangan utama rekod cemerlang ini pastinya daripada Measat selaku operator atau pengendali satelit komunikasi.

Ternyata penubuhan syarikat itu memenuhi kehendak Wawasan 2020 bagi memacu keupayaan ICT negara yang merupakan medium penting untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Malah Measat sendiri menjadi pemangkin kepada kebolehan rakyat Malaysia dalam teknologi satelit selain secara berterusan menyemarakkan minat generasi muda dalam industri penting ini.

Lebih membanggakan pastinya kerana sebahagian besar pengendalian satelit milik Measat ini ditunjangi jurutera tempatan.

Sememangnya menjadi komitmen syarikat berkenaan untuk melahirkan seramai mungkin jurutera tempatan berwibawa bagi menyahut cabaran Wawasan 2020.

Antara yang dilahirkan mereka ialah Mohd. Muzaini Mohammud, 35, anak kelahiran Perlis yang bertindak sebagai Penolong Jurutera Prinsipal bagi Kejuruteraan Satelit di Measat.

Pendedahan luas yang diberikan kepada Muzaini membolehkan beliau terlibat secara langsung dalam pembinaan satelit MEASAT-3 apabila menjadi Jurutera Residen Boeing Satellite System yang membina satelit berkenaan.

Sementara untuk pelancaran terbaru MEASAT-3a pada 22 Jun lalu, Muzaini dengan pengalaman yang ada padanya telah bertindak sebagai penasihat pelancaran.

Satelit keempat Measat itu yang dilancarkan di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan melibatkan kos sebanyak AS$165 juta (RM577.5 juta).

Direka dengan 24 transponder, satelit tersebut akan melengkapkan keupayaan MEASAT-3 yang dilancarkan pada Disember 2006 lalu yang menjadi satelit tercanggih milik negara.

MEASAT-3 dibangunkan dengan 48 transponder iaitu 24 liputan Ku-Band dan 24 C-band manakala MEASAT-3a adalah separuh daripada keupayaan tersebut.

Pelancaran satelit yang dibina oleh Orbital Sciences di Amerika Syarikat (AS) menandakan satu lagi kejayaan besar buat Measat selaku pengendali satelit utama di rantau ini.

Manakan tidak, lebih 85 peratus kapasiti MEASAT-3 telah habis dilanggan walaupun tidak sampai tiga tahun ia dilancarkan manakala MEASAT-3a yang bakal beroperasi penghujung bulan depan telah pun mempunyai pelanggan.

Dengan pengukuhan satelit Measat di longitud (garis bujur) 91.5 darjah timur ini dijangka bakal meningkatkan perolehan syarikat kepada RM350 juta setahun berbanding sekarang yang hanya sekitar 60 peratus daripada jumlah itu.

Selain lima satelit Malaysia yang sudah pun berada di ruang angkasa, terdapat ribuan lagi satelit yang beroperasi dan kesemuanya mempunyai pelbagai fungsi daripada komunikasi, cuaca, cerapan, pertahanan dan lain-lain.

Sejarah pelancaran satelit bermula pada 4 Oktober 1957 apabila Soviet Union melancarkan satelit buatan pertama dunia ke angkasa yang dikenali sebagai Sputnik 1.

Ia bersaiz sebesar bola dengan berat 83 kilogram (183 paun). Pelancaran itu dilakukan di Baikonur Cosmodrome dan Sputnik kini diabadikan pada nama sebuah hotel di Baikonur.

Hotel tersebut menjadi persinggahan delegasi yang menghadiri satu-satu pelancaran satelit di Baikonur Cosmodrome.

Tidak ketinggalan delegasi Malaysia yang menyaksikan pelancaran MEASAT-3a 22 Jun lalu dengan penuh rasa bangga. - HERMAN HAMID